Kita sebagai umat Islam telah dibekalkan dengan panduan yang cukup jelas dan lengkap melalui al-Quran dan Hadis tentang aspek penjagaan alam sekitar.
Buktinya banyak ayat al-Quran yang menekankan secara jelas tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar. Antaranya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ
“Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya” (Surah Hud, ayat 61).
Berbalik kepada konteks kitar semula, walaupun ia tidak disebutkan secara langsung di dalam al-Quran, namun ayat-ayat yang tersirat berkaitan amalan ini sebenarnya banyak. Antaranya, larangan melakukan pembaziran sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“…dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27).
Ayat ini memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa pembaziran merupakan satu amalan yang sangat keji yang wajib dihindari oleh manusia yang beriman kepada Allah. Kefahaman yang jelas tentang perkara ini seharusnya dapat diterapkan dalam jiwa setiap lapisan masyarakat untuk mengaitkannya dengan amalan kitar semula sebagai satu wadah bagi mengelakkan pembaziran dan mengoptimumkan penggunaan sumber sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam kepada manusia.
Selain daripada berkaitan dengan amalan pembaziran, kitar semula juga turut mempunyai perkaitan secara tidak langsung dengan penjelasan-penjelasan berkaitan fenomena alam yang juga banyak disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita.
Perkara ini seharusnya direnung dan difahami dengan sedalam-dalamnya untuk diterjemahkan pula kepada konsep kitar semula bahan-bahan terbuang demi menyelamatkan alam sekitar daripada terus menjadi mangsa kejahilan kita. Hanya dengan kefahaman yang sebenar tentang hal ini sahaja dapat membuka pintu hati masyarakat kita untuk menerima amalan kitar semula sebagai satu budaya hidup.
Dalam mempraktikkan kitar semula, amalan yang ditonjolkan oleh junjungan kita Rasulullah SAW sewajarnya diteladani oleh kita pada hari ini. Misalnya, dalam sebuah hadis telah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menjahit dan menampal kasut bagi memanjangkan lagi jangka hayat baju dan kasut Baginda. Kisah ini menonjolkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW sendiri turut mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang dalam kehidupan Baginda.
Manakala, dalam sebuah hadis yang lain pula telah diriwayatkan bahawa sahabat Baginda, Saidina Abu Bakar pernah berpesan kepada keluarganya agar mengkafankan beliau dengan baju yang beliau miliki kerana berpendapat bahawa kain yang baharu boleh dimanfaatkan oleh orang yang masih hidup. Di sini jelas memperlihatkan kepada kita bahawa sahabat Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap yang sama dengan Baginda yakni mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang.
Kisah ini seharusnya menjadi pedoman kepada kita untuk mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Kesedaran tentang kitar semula bukan lagi merupakan suatu pilihan, sebaliknya kewajipan semua untuk dibudayakan dalam kehidupan seharian bagi memastikan masa depan alam sekitar terjamin
No comments:
Post a Comment